Faizal RIza. Powered by Blogger.
RSS
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Followers

Sunday, December 5, 2010

Penting 'kecekapan' urus bajet

Categories:


BAJET 2010 yang bertemakan '1Malaysia Kemakmuran Bersama' masih hangat lagi diperkatakan baik oleh pakar-pakar ekonomi, ahli-ahli akademik, masyarakat, tidak kurang hebat juga masih hangat dibincangkan di warung-warung kopi.

Bajet baru-baru ini dibentangkan tanpa ada gangguan daripada pihak pembangkang. Bagaimanapun Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendahului pembentangan Bajet 2010. Pendedahan tersebut perlu dilihat dari sudut perspektif yang lebih rasional. Ia menuntut kerajaan untuk benar-benar melakukan tindakan yang drastik demi merealisasikan maksud perubahan yang sebenar.

Slogan 1Malaysia tidak hanya dihayati dari sudut rakyat didahulukan tetapi penghayatan pencapaian diutamakan mestilah diterjemahkan melalui kecekapan dan tanggungjawab dalam menguruskan sesebuah jabatan atau organisasi tanpa ada pembaziran yang 'melampau'.

Setelah kerajaan berjaya meletakkan rakyat didahulukan dan diakui oleh semua pihak, kini sudah tiba masanya penumpuan perlu diberikan kepada usaha pencapaian diutamakan.

Pencapaian bukan hanya diukur dari sudut kejayaan sahaja malah perlu dilihat dari sudut pengurusan agar tidak berlaku pembaziran seperti yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Kita perlu akui kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi bergantung kepada kebijaksanaan dan kekuatan seseorang ketua. Jika diumpamakan sebuah kapal yang dikemudikan oleh seorang nakhoda, jika salah arahannya maka kapal tersebut akan bergerak ke haluan yang salah.

Jika betul nakhodanya maka kapal tersebut akan bergerak ke haluan yang betul. Jika silap percaturan maka karamlah kapal tersebut, bukan setakat nakhoda (ketua) sahaja yang tenggelam tetapi mereka yang tidak berdosa iaitu anak-anak kapal (rakyat) turut tenggelam.

Apa yang lebih malang jika berlaku sebaliknya, nakhoda selamat, anak-anak kapal yang tenggelam.

Sekali lagi kita berdepan dengan masalah integriti. Walaupun kita mempunyai belanjawan yang terbaik tetapi jika sampai di peringkat pelaksanaannya berlaku pembaziran, pembelian yang meragukan, pembinaan yang tidak menepati spesifikasi dan sebagainya maka ia tidak akan merubah keadaan sebaliknya lebih merumitkan keadaan.

Permasalahan ini perlu ditangani sebelum bajet yang akan datang dibentangkan pula. Kita perlu menyedari bahawa setiap orang daripada kita memikul tanggungjawab dan amanah yang begitu berat sekali, apatah lagi jika seseorang itu memegang jawatan sebagi pengurus ataupun ketua.

Kita perlu menyedari bahawa pembaziran yang berlaku merupakan dana kerajaan dengan lain perkataan 'duit rakyat'. Allah SWT mengingatkan umat manusia agar sentiasa berintegriti dan menjaga setiap rezeki yang diperolehi daripada sumber yang halal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada rezeki yang baik yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu beribadat kepada-Nya". (Surah al-Baqarah; ayat 172).

Selaras dengan pencapaian diutamakan, tanggungjawab ini pastinya harus dipikul oleh Unit Penyampaian dan Perkhidmatan Prestasi (Pemandu) untuk membantu kerajaan mengatasi dan memperbetulkan 'kepincangan' yang berlaku agar tidak berlaku lagi seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Kerajaan perlu memberi perhatian yang serius kepada aspek pengurusan setelah berjaya menyediakan bajet yang disifatkan sebagai mesra rakyat, berjiwa rakyat, bajet rakyat dan sebagainya.

Bajet yang begitu hebat hanya tinggal sebagai satu 'sejarah' jika tidak diuruskan dengan baik. Jika kita umpamakan sebagai sebuah pasukan bola sepak, tidak ada gunanya kita mempunyai jurulatih yang hebat, sumber kewangan yang banyak tetapi pemain bermain sambil lewa dan rasuah, akhirnya pasukan gagal menjuarai perlawanan.

Laporan Ketua Audit tersebut perlu disusuli dengan tindakan yang 'sepatutnya' diambil kira dalam Indek Penilaian Prestasi (KPI) jabatan terbabit selain daripada menjadi satu input atau maklum balas mengenai prestasi kerajaan.

Prestasi yang buruk yang ditunjukkan oleh mana-mana jabatan harus diambil kira terutamanya dalam pemberian bonus ataupun imbuhan supaya mereka yang telah melakukan pembaziran tidak menikmati imbuhan tersebut.

Masalah pembaziran terutamanya pembaziran sumber kewangan merupakan masalah yang berkaitan dengan individu terutamanya mereka yang terlibat dalam membuat keputusan.

Sikap ini perlu diubah dan menjadi tanggungjawab seseorang ketua untuk mengubah, mengawasi, menyelia dan menasihati orang-orang di bawahnya.

Allah SWT telah berfirman Surah Yusuf ayat 55, Nabi Yusuf berkata: Jadikan saya penjaga perbendaharaan. Sesungguhnya saya pandai menjaga lagi mengerti. Jika kita menghayati kisah Nabi Yusuf ini, baginda telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai menteri ekonomi Mesir dengan begitu efektif sekali, hasilnya kemakmuran negara Mesir mampu dikongsi dengan penduduk negara jiran pada ketika itu.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua terutamanya majikan atau seseorang ketua untuk menguruskan sumber-sumber organisasi terutamanya sumber kewangan tanpa ada pembaziran. Kerana pembaziran yang dilakukan bermakna kita telah 'mengkhianati' rakyat dan menyalahgunakan 'wang rakyat'.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam satu hadis yang bermaksud: Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari akhirat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka. (Riwayat Iman Bukhari).

Langkah kerajaan memberi penekanan kepada pembentukan modal insan yang berkualiti amat tepat sekali supaya masalah yang berlaku tidak menjadi 'gejala' pada masa depan.

Namun tindakan sewajarnya perlu dilakukan segera untuk memastikan keyakinan rakyat yang semakin bersinar tidak terhakis. Tumpuan perlu diberikan kepada aspek pengurusan supaya yang diamanahkan menjalankan tanggungjawab menguruskan 'wang rakyat' dengan cekap dan berkesan.

Integriti dan akauntabiliti bukan sahaja perlu ada dalam diri setiap ketua tetapi termasuk semua pekerja dalam sesebuah organisasi. Kita perlu menjaga setiap tanggungjawab yang diamanahkan kerana kita akan dipersoalkan tentang tanggungjawab kita ke atas harta dan anak-anak kita manakala setiap ketua/majikan pula akan ditanya tentang tanggungjawab mereka ke atas organisasi dan pekerja-pekerja mereka.

Para pekerja juga tidak akan terlepas akan ditanya tentang tanggungjawab mereka terhadap pekerjaan dan majikan mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan Kami berbicara dengan tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan. (Surah Yasin, ayat 65)

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Spread The Love, Share Our Article

Related Posts

No Response to "Penting 'kecekapan' urus bajet"

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails